Pages

Showing posts with label mati. Show all posts
Showing posts with label mati. Show all posts

Saturday, December 4, 2010

Kronologi Pembunuhan Kejam Datuk Mazlan Idris

Disebabkan saya sangat sangat tertarik dengan kes pembunuhan bekas ADUN Batu Talam , Datuk Mazlan Idris , saya mengambil keputusan untuk menulis kronologi pembunuhan Allayarham Mazlan . Apa yang saya tertarik , di zaman moden , masih lagi ada yang percaya dengan 'semangat semangat' yang boleh menaikkan pangkat atau mengukuhkan kedudukan dalam sesuatu bidang *tidak merujuk kepada sesiapa , umum* . Dan dari satu sudut yang berlainan , sikap materialistik juga membuatkan kita alpa dan seterusnya bertindak di luar kewarasan .

Umum telah mengetahui bahawa rakyat Malaysia digemparkan dengan berita kehilangan dan seterusnya pembunuhan kejam Datuk Mazlan Idris , 17 tahun lalu .


KUALA LUMPUR : Pembunuhan yang dilakukan Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya , Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey serta pembantu mereka , Juraimi Husin , dianggap antara jenayah paling kejam di Malaysia .

Walaupun mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2001 kerana membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam , Datuk Mazlan Idris pada 1993 , setiap kali jenayah pembunuhan kejam berlaku , nama mereka akan dikaitkan sebagai 'ala Mona Fandey' .

Ini kerana dalam kes Mona , mayat mangsa dikerat 18 bahagian dan ditemui tertanam dengan simen dalam sebuah stor di belakang rumah didiami pasangan bomoh itu di Kampung Pamah Dong , Ulu Dong , Raub , Pahang .

Antara yang tidak dapat dilupakan ialah ketika membela dirinya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 November 1994 , Juraimi berkata : ''Saya tetak leher Datuk Mazlan dengan kapak tiga kali , baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi . ''

Menurut laporan , dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan selepas mendapat arahan lanjut daripada Mohd Affandi .

''Tulang dan daging itu saya masukkan ke dalam besen dan mencurahkannya ke lubang stor rumah yang digali sejak seminggu lalu dan menimbusnya . Saya kemudian menyimen lubang itu keesokan harinya (3 Julai 1993) , '' kata Juraimi .

Berikut adalah kronologi kes pembunuhan kejam tersebut ;
  • Juraimi adalah tertuduh pertama kes itu , manakala Mohd Affandi tertuduh kedua dan Mona tertuduh ketiga . Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Mazlan .
  • Mereka didapati bersalah pada 9 Februari 1995 oleh Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
  • Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dikerat , pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300 , 000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan 'mandi bunga' .
Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125 , 000 dan telefon bimbit RM10 , 500 secara tunai . Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40 , 000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20 , 000) .
Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13 , 000 pada 15 Julai 1993 .
  • 13 Julai 1993 : Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub .
  • 18 Julai 1993 : Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan , Umno Bahagian Raub membuat laporan polis di Balai Polis Raub mengenai kehilangannya .
  • 19 Julai 1993 : Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan . Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video , album gambar , keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan .
  • 20 Julai 1993 : Kira-kira jam 11.45 malam , Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5 , Wangsa Maju , Kuala Lumpur .
  • 21 Julai 1993 : Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub .
  • 23 Julai 1993 : Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong , Ulu Dong , Raub Pahang . Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor .
  • 1 Ogos 1993 : Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu , dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan .
  • 10 Ogos 1993 : Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi , Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita , Fatimah Mohamad , 32 .
  • 15 Ogos 1993 : Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan , Teluk Gong , Klang .
  • 17 Ogos 1993 : Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang .
  • 26 Oktober 1993 : Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub .
  • 18 Disember 1993 : Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh .
  • 3 September 1994 : Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam , Datuk Mazlan Idris .
  • 12 September 1994 : Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh . Juraimi , Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan .
  • 9 Februari 1995 : Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi , Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan .
  • 10 Februari 1995 : Mohd Affandi , Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan , dihantar ke Penjara Kajang .
  • Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997 : Mohd Affandi , Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan .
  • 24 Oktober 1997 : Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram , Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka .
  • 2 November 2001 : 5.59 pagi , Mona Fandey , Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang .
JUMPA AYAH DI PENJARA .
'' SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak pembunuh ? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi , tetapi Tuhan sudah menentukan begitu . Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia . Sebagai seorang Islam , saya terima takdir saya .
Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat yang tidak faham . Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan ibu tiri saya ? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh ? Penjahat ?
Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan masyarakat , tetapi sejak zaman kanak kanak hingga sekarang . Saya diberhenti atau diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu .
Malah , hasrat saya untuk bertunang juga tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey .
Saya cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik , walaupun dia tahu latar belakang keluarga saya .
Namun sebaik saja memaklumkan kepada keluarganya , mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami diputuskan .
Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara mara supaya bersiap sedia kerana akan menghantar rombongan peminangan , tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka memberitahu majlis itu tidak jadi .
Sebelum itu , ketika di kolej saya pernah bercinta dengan dua gadis , tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey .
Derita saya bukan hanya dalam percintaan , malah sukan . Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando . Dalam satu pertandingan , ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya .
Betapa malu dan rasa terhinanya saya . Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan ? Banyak lagi tekanan masyarakat yang cukup mengguris hati , tetapi apalah daya saya . Saya tidak mampu menemui semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya .
Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri dan menceritakan kisah saya kepada Metro Ahad . Saya bukan ingin mencari publisiti . Malah , saya bersedia menghadapi 'serangan' keluarga kerana yakin saudara mara yang membaca kisah ini akan marahkan saya .
Bagaimanapun , saya cuma mahu keadilan . Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya di atas kesalahan yang saya tidak lakukan . Saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri .
Terlalu berat rasanya untuk melangkah mengharungi kehidupan hari ini . Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah , saya dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi .
Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya membawa nama ayah , tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah . Saya tidak pernah mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika saya dalam kandungan .
Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu yang ayah saya masih hidup . Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh .
Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya ada ayah , saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah saya . Biasalah sebagai kanak kanak , kita tidak dapat memikirkan baik dan buruknya .
Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya dengan mengaitkan nama ayah saya .
Kata-kata yang paling saya tidak dapat dengar dan terima ialah '' Kau nak jadi macam bapak kau . Bapak kau pembunuh . '' Kata kata itu menyebabkan saya menjadi 'panas hati' dan selalu bergaduh .
Sebab itu saya belajar taekawondo ketika berusia 12 tahun . Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam .
Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun . Bukan seperti kanak kanak dan remaja lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka , bayangkan saya berjumpa ayah kandung buat kali pertama di penjara .
Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan tahanan dengan waris dan mengangkat telefon , ayah memanggil nama saya . Saya terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa , ayah mengenali saya .
Pada pertemuan itu , ayah hanya bertanya khabar dan perkembangan saya . Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu supaya jangan setakat belajar taekwondo , belajar juga silat .
Selepas itu , saya sering mengutus surat kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001) . Sebenarnya keluarga saya mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal , tetapi merahsiakannya dan hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir .
Saya dan keluarga bertolak dari Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001 . Seingat saya , kami bertolak menaiki empat kenderaan . Sejurus tiba pada hari sama , ayah mahu berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan masuk .
Saya di dalam bilik selama tiga jam bersama ayah . Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon .
Saya masih ingat kata-kata ayah yang mengaku dia tidak bersalah . Menurutnya , dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris) , sebaliknya semua itu angkara Mona dan Juraimi Husin . Bagaimanapun , arwah berkata dia menerima takdirnya .
Saya difahamkan oleh petugas penjara , ayah berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari kematiannya .
Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa kerana insaf di atas apa yang berlaku . Saya tidak berhak memberi pandangan dan andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT .
Yang pasti , ayah sudah menerima balasannya . Yang menghairankan ialah , mengapa masyarakat masih menghukum zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang berlaku .
Kami semuanya tiga beradik (daripada zuriat Mohd Affandi) . Abang saya berusia 31 tahun *sekarang , 2010* adalah anak hasil perkahwinan pertama manakala adik perempuan saya , Mazdiana , 22 tahun *sekarang , 2010* , adalah anak hasil perkongsian hidup dengan Mona .
Setiap kami mempunyai pengalaman sedih . Bagaimanapun , antara ketiga tiga anak ayah , saya seorang yang berjaya disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah .
Sejak itu hidup saya berubah . Saya tidak tahu bila derita saya akan berakhir , tetapi saya tidak berhenti berdoa .
Kepada masyarakat yang membaca kisah saya , saya hanya berharap mereka faham , saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui kehidupan dengan penuh ketenangan .
PERTEMUAN SEDIH TIGA JAM .
KUALA LUMPUR : Bagi Mohd Hafizi , pertemuan terakhir selama tiga jam sebelum ayahnya , Mohd Affandi Abdul Rahman menjalani hukuman mati adalah sesuatu yang penuh emosi dan tidak akan dilupakannya sehingga akhir hayat .
'' Pada hari itu saya lihat ayah cukup tenang , walaupun mengetahui dia hanya ada beberapa jam untuk hidup . Antara lain , arwah melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat membesarkan saya dan adik-beradik lain .
'' Dia juga menasihatkan saya supaya tabah melalui kehidupan ini . Ia sesuatu yang saya cuba pegang selama ini , tetapi tidak berdaya , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , pada hari itu juga , dia pertama kali bertentangan mata dengan ibu tirinya , Mona Fandey yang datang ke bilik dia bersama ayahnya . Mona memberi semangkuk tom yam , tetapi dilarang makan oleh Mohd Affandi .
''Ayah cuma kata biarlah ia di situ . Tak payahlah makan , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , dia juga terkejut apabila diminta mengecam jenazah ayahnya selepas menjalani hukuman gantung .
'' Ayah berkata dia mahu saya yang mengecam mayatnya . Dia tak mahu orang lain dan dia juga meminta saya supaya tidak menangis . Keesokannya (2 November 2001) ketika mengecam jenazah ayah , memang saya tiada perasaan sedih langsung .
'' Saya lihat ayah seperti orang tidur . Mengikut pegawai penjara yang menyaksikan ayah menjalani hukuman gantung , ayah tidak melawan . Sebaik tali dilepaskan , ayah terus menghembuskan nafas terakhir , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , dia meminta jenazah ayahnya ditanam di Kelantan , tetapi trak yang membawa jenazah terpaksa berpatah balik dan ditanam di Kajang berikutan diekori jurugambar .
''Itu sebabnya jenazah ayah dan Mona ditanam bersebelahan , manakala jenazah Juraimi dibawa ke kampungnya .
'' Saya tidak mahu melukakan hati mana mana pihak , terutama keluarga ibu tiri saya , tetapi saya membuat keputusan mengebumikan ayah di Kelantan kerana ayah ada menyatakan hasratnya kepada saya , kalau boleh dia ingin ditanam di negeri kelahirannya .
'' Ayah juga tidak mahu mayatnya ditanam di sebelah Mona . Saya tidak tahu sebabnya . Malah , kata pegawai Penjara Kajang , ayah menceraikan Mona sebelum mereka menjalani hukuman gantung , '' katanya .
Bagaimanapun , Mohd Hafizi tidak mahu mengungkit episod sedih itu kerana ayah dan ibu tirinya kini tiada .
''Biar apa sekalipun dosa mereka, pembalasan sebenar adalah di akhirat . Hanya Allah SWT yang mengetahui dan mereka sudah menjalani hukuman di dunia . Saya berdoa semoga Allah menguatkan iman saya melalui kehidupan ini sebagai seorang Islam yang patuh dengan ajaran-Nya .
'' Saya juga berdoa hubungan dengan abang dan adik akan bertambah erat kerana pada masa ini kami terpisah berikutan masing-masing dijaga keluarga berbeza dan dikawal ketat bagi mengelak orang lain tahu mereka anak Mohd Affandi , '' katanya .
Ditanya adakah Mohd Affandi menurunkan ilmu perbomohan kepadanya , Mohd Hafizi berkata , ayahnya ada memaklumkan perkara itu , tetapi dia kurang pasti apa dimaksudkan .
'' Ayah cuma berkata saya akan mendapat sesuatu , tetapi ia tidak dinyatakan secara jelas . Demi Allah , saya tidak pernah meminta dan mengimpikan sebarang ilmu daripada ayah .
'' Namun , andai ditakdirkan ilmu itu diperturunkan kepada saya , saya berazam menggunakannya pada jalan kebaikan . Saya percaya sebagai seorang Islam , jika kita menggunakan ilmu yang ada di jalan kebaikan , ia akan membawa keberkatan , '' katanya .
Mohd Hafizi mendakwa , antara 'kelebihannya' sekarang yang tidak dipelajarinya ialah mampu mencari benda hilang dan mahir bersilat .
'' Ia hadir secara tiba tiba , tetapi saya gunakan di jalan kebaikan seperti menolong orang mencari sesuatu yang hilang dan pada masa sama mengajar ilmu mempertahankan diri di sebuah institusi pengajian tinggi secara sambilan , '' katanya .
Bagaimanapun , Mohd Hafizi tidak mahu memikirkan sangat perkara itu kerana tumpuannya sekarang ialah mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi insan berguna dalam masyarakat .
Dipetik dan diubahsuai daripada Metro Ahad , Februari 2006 .