Setiap pertemuan itu awal perpisahan. Tidak kiralah selama mana pun suatu perhubungan. Secara peribadi bagi aku, sesingkat mana pun satu pertemuan itu, tetap selamanya akan hidup. Kuakui ada kebenaran pada kata kata seseorang: "Mungkin apa yang Finaz nakkan selama ni, Allah beri dengan cara yang berbeza. Jadi bersyukurlah dengan pertemuan kita kerana ia anugerah dari Allah." Aku bersyukur.
Setiap pertemuan, setiap perhubungan, setiap perkenalan. Tidak ada apa di atas bumi ini mampu kuluah betapa bertuahnya aku untuk mengenali insan insan yang hebat. Setiap satu darinya menjadi sebab untuk aku terus kuat. Terus sabar. Terus melangkah. Insan insan hebat inilah yang menyanjung ketika aku di atas dan mendukung bila aku di bawah. Mengenali mereka, lebih daripada cukup.
Buat sesuatu biarlah kerana Allah. Bersahabatlah kerana Allah. Ikhlaskan hati dan segala perbuatan tanpa mengharap balasan. Inilah nilai hubungan yang takkan aku gadai dengan apa sahaja walau dunia yang kau beri padaku. Untuk bertemu dengan sahabat yang baik, gerakkan diri untuk menjadi baik. Dan Allah juga berjanji, sekiranya kita ingin berubah, maka DIA 'kirimkan' orang yang baik baik untuk bersama kita.
Jujur, aku sayang setiap hubungan yang terjalin. Perkara yang paling aku takutkan, perpisahan. Amat takut. Aku takut aku tak mampu menghadapi perpisahan tersebut. Aku takut aku lemah dengan dugaan duniawi. Aku takut aku berjalan tanpa teman di sisi. Kerana itu, terkadang aku takut untuk bertemu. Kerana aku takut berpisah. Yang paling aku geruni, berpisah dan takkan berjumpa lagi. Seksa.
Kuhargai setiap yang hadir tapi ku tak rela setiap yang pergi. Buat yang membaca sedikit luahan ini, berjanjilah. Berjanjilah ia takkan mati di sini. Berjanjilah ia akan kekal hingga ke syurga. Berjanjilah walau tiada yang kekal abadi melainkan DIA.
Terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian daripada hidupku. Terima kasih kerana sudi menerima diri yang penuh cacat cela ini. Terima kasih kerana sudi menerima aku, yang sering alpa, yang lancang membuat kekhilafan. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment