Disebabkan saya sangat sangat tertarik dengan kes pembunuhan bekas ADUN Batu Talam , Datuk Mazlan Idris , saya mengambil keputusan untuk menulis kronologi pembunuhan Allayarham Mazlan . Apa yang saya tertarik , di zaman moden , masih lagi ada yang percaya dengan 'semangat semangat' yang boleh menaikkan pangkat atau mengukuhkan kedudukan dalam sesuatu bidang
*tidak merujuk kepada sesiapa , umum* . Dan dari satu sudut yang berlainan , sikap materialistik juga membuatkan kita alpa dan seterusnya bertindak di luar kewarasan .
Umum telah mengetahui bahawa rakyat Malaysia digemparkan dengan berita kehilangan dan seterusnya pembunuhan kejam Datuk Mazlan Idris , 17 tahun lalu .
KUALA LUMPUR : Pembunuhan yang dilakukan Mohd Affandi Abdul Rahman dan isterinya , Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey serta pembantu mereka , Juraimi Husin , dianggap antara jenayah paling kejam di Malaysia .
Walaupun mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2001 kerana membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam , Datuk Mazlan Idris pada 1993 , setiap kali jenayah pembunuhan kejam berlaku , nama mereka akan dikaitkan sebagai 'ala Mona Fandey' .
Ini kerana dalam kes Mona , mayat mangsa dikerat 18 bahagian dan ditemui tertanam dengan simen dalam sebuah stor di belakang rumah didiami pasangan bomoh itu di Kampung Pamah Dong , Ulu Dong , Raub , Pahang .
Antara yang tidak dapat dilupakan ialah ketika membela dirinya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 23 November 1994 , Juraimi berkata : ''Saya tetak leher Datuk Mazlan dengan kapak tiga kali , baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi . ''
Menurut laporan , dia kemudian memotong sendi dan melapah kulit serta daging Mazlan selepas mendapat arahan lanjut daripada Mohd Affandi .
''Tulang dan daging itu saya masukkan ke dalam besen dan mencurahkannya ke lubang stor rumah yang digali sejak seminggu lalu dan menimbusnya . Saya kemudian menyimen lubang itu keesokan harinya (3 Julai 1993) , '' kata Juraimi .
Berikut adalah kronologi kes pembunuhan kejam tersebut ;
- Juraimi adalah tertuduh pertama kes itu , manakala Mohd Affandi tertuduh kedua dan Mona tertuduh ketiga . Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Mazlan .
- Mereka didapati bersalah pada 9 Februari 1995 oleh Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
- Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dikerat , pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300 , 000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan 'mandi bunga' .
Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125 , 000 dan telefon bimbit RM10 , 500 secara tunai . Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40 , 000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20 , 000) .
Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13 , 000 pada 15 Julai 1993 .
- 13 Julai 1993 : Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub .
- 18 Julai 1993 : Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan , Umno Bahagian Raub membuat laporan polis di Balai Polis Raub mengenai kehilangannya .
- 19 Julai 1993 : Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan . Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video , album gambar , keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan .
- 20 Julai 1993 : Kira-kira jam 11.45 malam , Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5 , Wangsa Maju , Kuala Lumpur .
- 21 Julai 1993 : Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub .
- 23 Julai 1993 : Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong , Ulu Dong , Raub Pahang . Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor .
- 1 Ogos 1993 : Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu , dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan .
- 10 Ogos 1993 : Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi , Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita , Fatimah Mohamad , 32 .
- 15 Ogos 1993 : Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan , Teluk Gong , Klang .
- 17 Ogos 1993 : Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang .
- 26 Oktober 1993 : Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub .
- 18 Disember 1993 : Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh .
- 3 September 1994 : Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam , Datuk Mazlan Idris .
- 12 September 1994 : Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh . Juraimi , Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan .
- 9 Februari 1995 : Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi , Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan .
- 10 Februari 1995 : Mohd Affandi , Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan , dihantar ke Penjara Kajang .
- Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997 : Mohd Affandi , Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan .
- 24 Oktober 1997 : Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram , Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka .
- 2 November 2001 : 5.59 pagi , Mona Fandey , Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang .
JUMPA AYAH DI PENJARA .
'' SIAPA yang ingin dilahirkan sebagai anak pembunuh ? Saya tidak minta dilahirkan sebagai anak Mohd Affandi , tetapi Tuhan sudah menentukan begitu . Saya tidak pernah menyesal dilahirkan ke dunia . Sebagai seorang Islam , saya terima takdir saya .
Yang menyedihkan ialah sikap masyarakat yang tidak faham . Mengapa saya turut dipersalahkan di atas perbuatan ayah dan ibu tiri saya ? Adakah semua anak pembunuh turut menjadi pembunuh ? Penjahat ?
Bukan sehari dua saya menghadapi tekanan masyarakat , tetapi sejak zaman kanak kanak hingga sekarang . Saya diberhenti atau diminta berhenti empat pekerjaan dalam tempoh dua tahun lalu .
Malah , hasrat saya untuk bertunang juga tidak kesampaian apabila keluarga kekasih saya menentang hubungan kami apabila mengetahui saya ada hubungan darah dengan Mohd Affandi dan Mona Fandey .
Saya cukup tertekan kerana hubungan dengan kekasih sangat baik , walaupun dia tahu latar belakang keluarga saya .
Namun sebaik saja memaklumkan kepada keluarganya , mereka tidak dapat menerima saya dan meminta hubungan kami diputuskan .
Bayangkan perasaan ibu saya yang sudah membeli cincin dan memaklumkan kepada saudara mara supaya bersiap sedia kerana akan menghantar rombongan peminangan , tetapi akhirnya terpaksa menebalkan muka memberitahu majlis itu tidak jadi .
Sebelum itu , ketika di kolej saya pernah bercinta dengan dua gadis , tetapi akhirnya terputus selepas mereka mengetahui saya anak Mohd Affandi dan Mona Fandey .
Derita saya bukan hanya dalam percintaan , malah sukan . Saya mewakili Kelantan dan kini Kuala Lumpur dalam acara taekwando . Dalam satu pertandingan , ada peserta mengundurkan diri dan tidak mahu berlawan dengan saya apabila mengetahui saya anak Mohd Affandi kerana bimbang saya membawa ilmu arwah ayah dan ibu tiri saya .
Betapa malu dan rasa terhinanya saya . Adakah mereka menganggap saya tiada kebolehan ? Banyak lagi tekanan masyarakat yang cukup mengguris hati , tetapi apalah daya saya . Saya tidak mampu menemui semua orang dan menceritakan kesedihan dan kisah sebenar saya .
Inilah tujuan utama saya mendedahkan diri dan menceritakan kisah saya kepada Metro Ahad . Saya bukan ingin mencari publisiti . Malah , saya bersedia menghadapi 'serangan' keluarga kerana yakin saudara mara yang membaca kisah ini akan marahkan saya .
Bagaimanapun , saya cuma mahu keadilan . Saya mahu masyarakat faham dan tahu kisah sebenar dan tidak terus menyeksa saya di atas kesalahan yang saya tidak lakukan . Saya hanya mahu menjalani kehidupan normal seperti insan lain yang mempunyai kerjaya dan keluarga sendiri .
Terlalu berat rasanya untuk melangkah mengharungi kehidupan hari ini . Bayangkan kerana wajah saya mirip ayah , saya dipaksa makan pelbagai ubat oleh keluarga bertujuan mengemukkan diri supaya orang tidak cam yang saya anak Mohd Affandi .
Saya cuma mahu masyarakat tahu saya hanya membawa nama ayah , tetapi saya tidak pernah menjadi anak ayah . Saya tidak pernah mendapat kasih sayang ayah kerana arwah (Mohd Affandi) meninggalkan ibu ketika saya dalam kandungan .
Saya tidak pernah tahu siapa ayah saya sehingga saya berusia sembilan tahun apabila ibu memanggil saya dan memberitahu yang ayah saya masih hidup . Ketika itu pun saya hanya melihat wajah arwah di televisyen kerana didakwa atas tuduhan membunuh .
Berikutan terlalu gembira saya sebenarnya ada ayah , saya bercerita kepada rakan di sekolah bahawa Mohd Affandi itu ayah saya . Biasalah sebagai kanak kanak , kita tidak dapat memikirkan baik dan buruknya .
Akhirnya saya menjadi mangsa cercaan dan yang paling saya tidak dapat bersabar apabila mereka menghina dan sindir saya dengan mengaitkan nama ayah saya .
Kata-kata yang paling saya tidak dapat dengar dan terima ialah '' Kau nak jadi macam bapak kau . Bapak kau pembunuh . '' Kata kata itu menyebabkan saya menjadi 'panas hati' dan selalu bergaduh .
Sebab itu saya belajar taekawondo ketika berusia 12 tahun . Saya menjadikan gelanggang taekwondo sebagai tempat melepaskan geram dan perasaan marah hingga memperoleh tali pinggang hitam .
Kali pertama saya berjumpa arwah ayah di Penjara Kajang ketika berusia 16 tahun . Bukan seperti kanak kanak dan remaja lain yang membesar dengan kasih sayang ayah mereka , bayangkan saya berjumpa ayah kandung buat kali pertama di penjara .
Sebaik saya memasuki bilik perjumpaan tahanan dengan waris dan mengangkat telefon , ayah memanggil nama saya . Saya terkejut kerana walaupun tidak pernah berjumpa , ayah mengenali saya .
Pada pertemuan itu , ayah hanya bertanya khabar dan perkembangan saya . Pesanan ayah saya ingat hingga ke hari ini iaitu supaya jangan setakat belajar taekwondo , belajar juga silat .
Selepas itu , saya sering mengutus surat kepada ayah dan pernah berjumpanya dua kali sebelum saya menerima berita ayah akan dihukum gantung keesokannya (2 November 2001) . Sebenarnya keluarga saya mengetahui tarikh hukuman itu seminggu lebih awal , tetapi merahsiakannya dan hanya memaklumkan kepada saya pada hari terakhir .
Saya dan keluarga bertolak dari Pantai Cahaya Bulan (Kelantan) ke Penjara Kajang pada 1 November 2001 . Seingat saya , kami bertolak menaiki empat kenderaan . Sejurus tiba pada hari sama , ayah mahu berjumpa saya bersendirian manakala yang lain tidak dibenarkan masuk .
Saya di dalam bilik selama tiga jam bersama ayah . Itu kali pertama kami bersentuhan kerana sebelum itu kami dipisahkan oleh dinding kaca dan hanya berbual menerusi telefon .
Saya masih ingat kata-kata ayah yang mengaku dia tidak bersalah . Menurutnya , dia tidak membunuh Datuk Mazlan (Idris) , sebaliknya semua itu angkara Mona dan Juraimi Husin . Bagaimanapun , arwah berkata dia menerima takdirnya .
Saya difahamkan oleh petugas penjara , ayah berpuasa selama tiga tahun secara berterusan sehingga hari kematiannya .
Saya tidak tahu adakah ayah berpuasa kerana insaf di atas apa yang berlaku . Saya tidak berhak memberi pandangan dan andaian kerana itu antara ayah dan Allah SWT .
Yang pasti , ayah sudah menerima balasannya . Yang menghairankan ialah , mengapa masyarakat masih menghukum zuriatnya yang tidak tahu menahu mengenai kejadian (pembunuhan Mazlan) yang berlaku .
Kami semuanya tiga beradik (daripada zuriat Mohd Affandi) . Abang saya berusia 31 tahun
*sekarang , 2010* adalah anak hasil perkahwinan pertama manakala adik perempuan saya , Mazdiana , 22 tahun
*sekarang , 2010* , adalah anak hasil perkongsian hidup dengan Mona .
Setiap kami mempunyai pengalaman sedih . Bagaimanapun , antara ketiga tiga anak ayah , saya seorang yang berjaya disembunyikan daripada media hinggalah hari pengebumian ayah .
Sejak itu hidup saya berubah . Saya tidak tahu bila derita saya akan berakhir , tetapi saya tidak berhenti berdoa .
Kepada masyarakat yang membaca kisah saya , saya hanya berharap mereka faham , saya juga ciptaan Allah yang ingin melalui kehidupan dengan penuh ketenangan .
PERTEMUAN SEDIH TIGA JAM .
KUALA LUMPUR : Bagi Mohd Hafizi , pertemuan terakhir selama tiga jam sebelum ayahnya , Mohd Affandi Abdul Rahman menjalani hukuman mati adalah sesuatu yang penuh emosi dan tidak akan dilupakannya sehingga akhir hayat .
'' Pada hari itu saya lihat ayah cukup tenang , walaupun mengetahui dia hanya ada beberapa jam untuk hidup . Antara lain , arwah melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat membesarkan saya dan adik-beradik lain .
'' Dia juga menasihatkan saya supaya tabah melalui kehidupan ini . Ia sesuatu yang saya cuba pegang selama ini , tetapi tidak berdaya , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , pada hari itu juga , dia pertama kali bertentangan mata dengan ibu tirinya , Mona Fandey yang datang ke bilik dia bersama ayahnya . Mona memberi semangkuk tom yam , tetapi dilarang makan oleh Mohd Affandi .
''Ayah cuma kata biarlah ia di situ . Tak payahlah makan , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , dia juga terkejut apabila diminta mengecam jenazah ayahnya selepas menjalani hukuman gantung .
'' Ayah berkata dia mahu saya yang mengecam mayatnya . Dia tak mahu orang lain dan dia juga meminta saya supaya tidak menangis . Keesokannya (2 November 2001) ketika mengecam jenazah ayah , memang saya tiada perasaan sedih langsung .
'' Saya lihat ayah seperti orang tidur . Mengikut pegawai penjara yang menyaksikan ayah menjalani hukuman gantung , ayah tidak melawan . Sebaik tali dilepaskan , ayah terus menghembuskan nafas terakhir , '' katanya .
Mohd Hafizi berkata , dia meminta jenazah ayahnya ditanam di Kelantan , tetapi trak yang membawa jenazah terpaksa berpatah balik dan ditanam di Kajang berikutan diekori jurugambar .
''Itu sebabnya jenazah ayah dan Mona ditanam bersebelahan , manakala jenazah Juraimi dibawa ke kampungnya .
'' Saya tidak mahu melukakan hati mana mana pihak , terutama keluarga ibu tiri saya , tetapi saya membuat keputusan mengebumikan ayah di Kelantan kerana ayah ada menyatakan hasratnya kepada saya , kalau boleh dia ingin ditanam di negeri kelahirannya .
'' Ayah juga tidak mahu mayatnya ditanam di sebelah Mona . Saya tidak tahu sebabnya . Malah , kata pegawai Penjara Kajang , ayah menceraikan Mona sebelum mereka menjalani hukuman gantung , '' katanya .
Bagaimanapun , Mohd Hafizi tidak mahu mengungkit episod sedih itu kerana ayah dan ibu tirinya kini tiada .
''Biar apa sekalipun dosa mereka, pembalasan sebenar adalah di akhirat . Hanya Allah SWT yang mengetahui dan mereka sudah menjalani hukuman di dunia . Saya berdoa semoga Allah menguatkan iman saya melalui kehidupan ini sebagai seorang Islam yang patuh dengan ajaran-Nya .
'' Saya juga berdoa hubungan dengan abang dan adik akan bertambah erat kerana pada masa ini kami terpisah berikutan masing-masing dijaga keluarga berbeza dan dikawal ketat bagi mengelak orang lain tahu mereka anak Mohd Affandi , '' katanya .
Ditanya adakah Mohd Affandi menurunkan ilmu perbomohan kepadanya , Mohd Hafizi berkata , ayahnya ada memaklumkan perkara itu , tetapi dia kurang pasti apa dimaksudkan .
'' Ayah cuma berkata saya akan mendapat sesuatu , tetapi ia tidak dinyatakan secara jelas . Demi Allah , saya tidak pernah meminta dan mengimpikan sebarang ilmu daripada ayah .
'' Namun , andai ditakdirkan ilmu itu diperturunkan kepada saya , saya berazam menggunakannya pada jalan kebaikan . Saya percaya sebagai seorang Islam , jika kita menggunakan ilmu yang ada di jalan kebaikan , ia akan membawa keberkatan , '' katanya .
Mohd Hafizi mendakwa , antara 'kelebihannya' sekarang yang tidak dipelajarinya ialah mampu mencari benda hilang dan mahir bersilat .
'' Ia hadir secara tiba tiba , tetapi saya gunakan di jalan kebaikan seperti menolong orang mencari sesuatu yang hilang dan pada masa sama mengajar ilmu mempertahankan diri di sebuah institusi pengajian tinggi secara sambilan , '' katanya .
Bagaimanapun , Mohd Hafizi tidak mahu memikirkan sangat perkara itu kerana tumpuannya sekarang ialah mendekatkan diri kepada Allah dan menjadi insan berguna dalam masyarakat .
Dipetik dan diubahsuai daripada
Metro Ahad , Februari 2006 .