Pages

Wednesday, October 30, 2013

Tindakan Pizza Hut Malaysia Terhadap Kes Anthony Thanasayan

Assalamualaikum.

Balik dari kelas tutorial Public Law dan Common Law, minda menerawang jauh terkenangkan kes "diskriminasi terhadap orang kelainan upaya". Setiap langkah saya menuju pulang, satu demi satu perkataan tersusun untuk menulis di ruangan ini.

Info yang saya peroleh hari ini, sidag akhbar antara pihak Pizza Hut Malaysia dan Mr Anthony Thanasayan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini, ditangguh. Pihak pengurusan Pizza Hut Malaysia membuat permintan untuk mengadakan mesyuarat atau perjumpaan dengan Anthony berkata, adalah lebih baik sekiranya beliau berjumpa dengan pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum membuat sidang akhbar.

Perkara ini mendapat sambutan ramai malahan telah keluar di akhbar The Sun. Pihak pengurusan Pizza Hut Malaysia menafikan bahawa syarikat mendiskriminasikan golongan yang memerlukan. Pizza Hut Malaysia berkata insiden yang berlaku di Pizza Hut Mid Valley adalah satu salahfaham. Pengurus Besar Kanan Pizza Hut Malaysia, Low Kang Moon berkata, syarikat telah meminta maaf kepada pelanggan tersebut atas kesalahfahaman dan kesulitan yang berlaku. Menurut beliau lagi, beliau dimaklumkan bahawa staf yang menyambut Anthony ingin memberi ruang yang lebih selesa kepada beliau. Low menambah, Pizza Hut Malaysia tidak mempunyai sebarang polisi mengenai pengguna kerusi roda tidak dibenarkan masuk ke dalam restoran.

Berkenaan perjumpaan antara Anthony dengan pihak Pizza Hut Malaysia, menurut Anthony, semuanya berjalan lancar dan positif. Malahan, pihak Pizza Hut telah berjanji bahawa perkara sebegini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Mengenai pengurus bertugas, Niq Ribiya, Pizza Hut telah meletakkan beliau di dalam "tempoh bercuti" dan akan menjalani sesi kaunseling.

Saya memohon maaf sekiranya ada kenyataan di atas menimbulkan rasa tidak puas hati. Walau apa pun, kebenaran akan terbukti. Sama sama kita nantikan pengakhiran kemelut ini. Bagi saya secara peribadi, saya berharap agar perkara ini tidak akan menjejaskan hasil jualan Pizza Hut Malaysia serta tiada lagi komen komen penghinaan. Benar, ada hak kebebasan bersuara tapi biarlah kena pada gayanya.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, October 29, 2013

PH Mid Valley oh PH Mid Valley...

Assalamualaikum.

Hai, mungkin saya sedikit ketinggalan ekoran keletihan semalam. Hari ini, ketika rehat kelas Public Law, saya memenuhi masa rehat tersebut dengan membaca susur masa Twitter. Mengejutkan apabila saya ternampak tweet Pizza Hut Malaysia memohon maaf kepada beberapa pengguna Twitter. Setelah saya membaca beberapa tweet yang menunjukkan kemarahan dan kecaman, saya terjumpa akaun Twitter seorang aktivis hak orang kurang upaya. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati kerana beliau seolah olah didiskriminasikan oleh restoran Pizza Hut cawangan Mid Valley. Ini aduan Anthony Thanasayan.

Pada pendapat saya sebagai seorang yang pernah berkhidmat untuk Pizza Hut, adalah sangat tidak wajar sekiranya pengurus yang bertugas itu menyatakan bahawa adalah polisi syarikat untuk tidak membenarkan mereka yang berkerusi roda untuk mendapat servis dari pihak restoran. Sepanjang saya bekerja, belum pernah sekalipun pihak pengurusan restoran memaklumkan kepada saya bahawa golongan seperti ini tidak dibenarkan untuk makan di restoran melainkan dengan bangun dari kerusi roda dan berjalan seperti orang yang normal.

Pendapat saya sebagai seorang pelanggan, juga tidak patut Mr Anthony dilayan sebegitu. Selagi beliau datang untuk makan, membayar caj servis, membayar cukai, sepatutnya beliau dilayan seperti pelanggan yang lain.

Saya percaya ada penjelasan di sebalik apa yang berlaku. Saya kurang pasti tentang polisi yang dikatakan tetapi setahu saya, tiada polisi sedemikian. Saya kurang percaya tentang Area Manager, Ms Rozita yang memaklumkan pengurusnya untuk berkata sebegitu kepada pelanggan. Walaupun pernah bertemu muka hanya untuk 5 minit dengan Ms Rozita, saya yakin beliau tidaklah sebegitu kejam.

Sebagai pencinta pizza, untuk lebih tepat, Pizza Hut, saya amat kecewa dengan perkara yang berlaku. Bukan untuk memburukkan keadaan, tetapi tidak sangka akan menjadi isu. Acap kali saya perhatikan, baik di laman Facebook mahupun Twitter dan Instagram, rakyat Malaysia sering membuat aduan tentang servis yang diberikan oleh staf staf Pizza Hut. Sedih dengan semua ini kerana bagi saya sendiri, saya berusaha keras untuk memberi servis yang terbaik walaupun ketika hari sibuk.

Berbalik kepada aduan Mr Anthony, beliau telahpun ditemubual oleh pihak Astro Awani. Susur masa Twitter saya juga dibanjiri dengan kecaman daripada pengguna Twitter. Saya, secara peribadi berharap agar rakyat Malaysia tidak menuding jari menyalahkan pihak pengurusan Pizza Hut. Apa yang boleh saya katakan, kita sama sama tunggu berita selanjutnya dan tidak membuat kesimpulan yang berat sebelah.

Saya memohon maaf terlebih dahulu seandainya entri ini menyinggung mana mana pihak. Saya tidak menyalahkan sesiapa. Cuma saya pernah berada di tempat pengendali makanan lantas saya faham sedikit sebanyak apa yang mereka lakukan (tidak termasuk kes diskriminasi di atas). Saya juga pernah malahan selalu menjadi pelanggan. Saya berharap kebenaran akan terbukti bagi pihak Mr Anthony, Niq Ribiya (pengurus bertugas), Ms Rozita (Area Manager) dan pihak pengurusan Pizza Hut Malaysia.

Sama sama juga kita nantikan sidang akhbar esok, 30 Oktober 2013 pada jam 10.30 pagi di Lawyers for Liberty, Unit A-1-10, Block A, 8 Avenue, Jalan Sungai Jernih, 8/1 Seksyen 8, 46050, Petaling Jaya, Selangor.

Sunday, October 27, 2013

A Something.

A something feels right
A something in sight
A something so happy
A something so true.

This something is my strength
It will get me through the times
When I feel blue
This something pulls me through
Directly to you
This something is a feeling for you
What is this something?
What could it be?

A something so happy
A something so true
A something called love
Dedicated to you.

0300am
October 27, 2013.

Monday, July 29, 2013

Sedikit Coretan Buatmu.

Buat kau yang aku sayang.
Kuingin kau tahu sejak kau menerjah ruang hati ini
Tak pernah kuimpi untuk menghadapi hari esok tanpa kamu
Hanya tanganmu yang kuimpi untuk berpimpin denganku.
Buat kau yang aku sayang.
Kehadiran dia yang kini mencari tapak dalam hidupku
Tidak sedikit pun menggugah rasa ini
Buat kau yang aku sayang.
Semakin lama hubungan kita, semakin aku yakin
Engkau tetap kusayang
Engkau tetap kukasih
Selama mana nafas ini terhembus
Selama mana jantung ini berdegup
Buat kau yang aku sayang.
Maaf kiranya aku akan meninggalkan kamu
Maaf kiranya aku tidak selalu ada untuk kamu
Tidak kupilih jalan ini, jadi begini.
Sayang, engkau jiwaku
Nafasku.
Terlalu sayang dan takkan pudar walaupun jarak akan pisahkan kau dan aku.
Maaf andai aku tidak sempurna. Maaf andai aku tidak mampu buat kau bahagia.

Kau bukan milikku tetapi kau tetap kusayang hingga hujung helaan nafasku.

Wednesday, May 22, 2013

Terubah Satu Janji.

Seiring dengan waktu berlalu,
Kutahu engkau berubah.
Walaupun masih bumi berputar di atas paksinya
Walaupun langit sentiasa membiru
Walaupun sang suria masih bersinar riang.
Kau bukan yang dulu lagi
Bukan yang aku kenali
Bukan yang kumengerti.
Mungkinkah kerana kicauan burung?
Mungkinkah kerana deruan ombak?
Maafkan aku kiranya kerana aku, engkau berubah.
Di mana janji yang dulu terlafaz?
Janji yang melilit tangkai hati ini untuk terus menunggu
Janji yang pudar dimamah waktu
Janji yang kau lupakan.
Kucapai jam loceng
Menandakan aku harus pergi
Pergi dari hidupmu
Dan mungkin takkan kembali.
Aku akan pergi.
Satu masa nanti.
Selamat tinggal dia yang kurindu.

Sunday, May 19, 2013

Bertemu, Berpisah.

Setiap pertemuan itu awal perpisahan. Tidak kiralah selama mana pun suatu perhubungan. Secara peribadi bagi aku, sesingkat mana pun satu pertemuan itu, tetap selamanya akan hidup. Kuakui ada kebenaran pada kata kata seseorang: "Mungkin apa yang Finaz nakkan selama ni, Allah beri dengan cara yang berbeza. Jadi bersyukurlah dengan pertemuan kita kerana ia anugerah dari Allah." Aku bersyukur.

Setiap pertemuan, setiap perhubungan, setiap perkenalan. Tidak ada apa di atas bumi ini mampu kuluah betapa bertuahnya aku untuk mengenali insan insan yang hebat. Setiap satu darinya menjadi sebab untuk aku terus kuat. Terus sabar. Terus melangkah. Insan insan hebat inilah yang menyanjung ketika aku di atas dan mendukung bila aku di bawah. Mengenali mereka, lebih daripada cukup.

Buat sesuatu biarlah kerana Allah. Bersahabatlah kerana Allah. Ikhlaskan hati dan segala perbuatan tanpa mengharap balasan. Inilah nilai hubungan yang takkan aku gadai dengan apa sahaja walau dunia yang kau beri padaku. Untuk bertemu dengan sahabat yang baik, gerakkan diri untuk menjadi baik. Dan Allah juga berjanji, sekiranya kita ingin berubah, maka DIA 'kirimkan' orang yang baik baik untuk bersama kita.

Jujur, aku sayang setiap hubungan yang terjalin. Perkara yang paling aku takutkan, perpisahan. Amat takut. Aku takut aku tak mampu menghadapi perpisahan tersebut. Aku takut aku lemah dengan dugaan duniawi. Aku takut aku berjalan tanpa teman di sisi. Kerana itu, terkadang aku takut untuk bertemu. Kerana aku takut berpisah. Yang paling aku geruni, berpisah dan takkan berjumpa lagi. Seksa.

Kuhargai setiap yang hadir tapi ku tak rela setiap yang pergi. Buat yang membaca sedikit luahan ini, berjanjilah. Berjanjilah ia takkan mati di sini. Berjanjilah ia akan kekal hingga ke syurga. Berjanjilah walau tiada yang kekal abadi melainkan DIA.

Terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian daripada hidupku. Terima kasih kerana sudi menerima diri yang penuh cacat cela ini. Terima kasih kerana sudi menerima aku, yang sering alpa, yang lancang membuat kekhilafan. Terima kasih.

Saturday, May 18, 2013

Tabik Dunia Untukmu, Insan Mulia.

Assalamualaikum.

Tika jari sedang menari di atas papan kekunci ini, kuharap sedikit coretan tidaklah terlalu lewat.


Dalam marah, ada sayang
Dalam bebelan, ada doa
Dalam jentikmu, ada nasihat
Setiap perlakuanmu,
Setiap didikanmu,
Menjadikan aku manusia,
Terus dan tetap mengajar aku susah senang kehidupan
Mengajar aku tanpa lelah
Mendidik aku tanpa keluh.
Kau,
Menyuluh jalanan gelita yang aku lalui
Aku tidak tahu apa di hadapan
Kau memimpin penuh sabar
Tiada apa di dunia ini mampu kubalas
Harta menggunung, lautan duit, tidak setanding dengan pengorbanan yang kau lakukan
Untukmu, pendidik,
Akan aku pastikan masa depan aku,
Kebanggan kamu.
Untukmu, tulang belakangku,
Sepanjang nyawamu,
Kau kusanjung.
Untukmu, insan mulia,
Tabik dunia kuberi padamu.


Buat mereka yang masih aku ingat.

SK Selayang Utama: Puan Rubayah, Puan Amnah, Encik Ahmad Yusri, Puan Aphyza, Encik Mohd Jamzury, Encik Fazli, Encik Kamarul Shahrin, Puan Goury, Puan Zuridah, Cik Mila Zita.

SMK Ideal Heights: Puan Umi Hani, Puan Norhasniza, Puan Mahfudzah, Puan Nurul Aida, Puan Wahidayati, Encik Mazlan, Encik Roslan, Encik Rohaizat, Puan Syathirah, Puan Yushidaya, Puan Camilia, Puan Sharifah Zuraihan, Bonda Faridah, Puan Zarinah, Puan Sokkeria, Puan Nurfida, Puan Siti Maswani, Puan Noralida, Puan Adilah.

Management and Science University: Madam Suhaili binti Ishak, Miss Nur Diyana binti Mohd Razali, Mr Muhamad Atlizan bin Darlis, Mr Abd Hakim bin Abd Razak.

Tuesday, April 30, 2013

Bawa Jiwaku.

Bagaimana untuk teruskan perjuangan ini?
Tanpa bebayang kamu,
yang menemani aku di jalan penuh liku
Akan terus aku nanti bayang bayang ini hadir
Hadir di setiap jatuh bangun aku
Harapan
Harusnya aku berdiri
Tidak rebah tatkala meninggalkan atau ditinggalkan
Takdir jiwa mengubah langkah ini
Sedikit demi sedikit,
hadirnya engkau, menghapus luka lalu,
menarik aku daripada ditelan ombak derita
Sepi mungkin kan bertandang lagi
Mencengkam urat urat bahagia
Menghiris kelopak kasih
Jangan!
Jangan menjauh dan tinggalkan aku
Aku bersumpah takkan melupakan
Selagi jiwaku kau pegang.

0129am
20/4/2013
Di bawah cahaya lampu,
sedang keliru.

Kau Darahku.

Ada sesuatu yang hadir
Ada sesuatu yang membelenggu
Sukar untuk aku nyatakan,
ungkapkan.
Acap kali membisikkan pada angin malam,
pada bayu senja.
Kusuluh jalanan ini
Mencari sesuatu yang tak pasti
Adakah akan aku temui?
Mungkin ya, mungkin tidak.
Asal sahaja terlihatkan secalit senyuman mekarmu,
Jantung berdetak kencang
Tanpa darah mengalir
Jarum jam tidak tidak beranjak.
Lirikan mata yang sentiasa aku nanti,
Mata yang aku terpandang kejernihan akannya
Jitu.
Kelibatmu yang menggetarkan nurani
Kiri kanan hanya terpandang dirimu
Kutoleh ke sudut yang akan aku rindu
Izinkan...
Izinkan aku untuk selalu memerhatikanmu
Dari kejauhan
Dari ruang abadi ini.

1126am
28/4/2013
Performing Arts Theatre,
Kampus MSU.

Penantian.

Penantian.
Apa yang diharap tak seindah mimpi
Puas aku lena
Kau hadir di setiap mimpiku
Tiada pernah muncul rasa jemu
Kau akan pergi
Tinggalkan aku di tengah tengah lautan rindu
Membiar aku tenggelam dan terus hanyut
Inikah balasan? Inikah dinamakan impian?
Tapi mengapakah kau yang aku nanti?
Kerana kau,
kerana senyuman itu,
kerana kasih yang kau miliki,
kerana rindu yang menyelubungi
Benar,
biar yang datang silih berganti,
hanya kau,
Kau yang beraja di takhta hati.

1822pm
27/4/2013
Performing Arts Theatre,
Kampus MSU.

Simpang Dilema.

Kalau benar setia,
bersabarlah.
Kalau benar perasaan itu tidak utuh,
pergilah.
Terlalu, teramat menyayangi
Tiba aku di persimpangan dilema.
Antara memilih atau tetap teguh
Antara mencari atau menanti
Keliru..!
Nyata, ketidakpastian yang harus kuhadapi
Mungkin hadirnya yang lebih baik
Mungkin hanya dia dan tiada pengganti.

1750pm
27/4/2013
Performing Arts Theatre,
Kampus MSU.

Saturday, April 6, 2013

For my love


When I think of you my love
I, passing by to catch a glimpse of the sunshine
if we had time enough
we should think (while sitting)
and reason before our time
before you entered womanhood
I will love you ten years
after your time and you can refuse me
until you turn twenty-one
When I first saw you, what was it in you
that attracted me to love you
and pour out words from my heart
why did I bleed my pen
to form these words
the words dancing in my heart
may be it is the beauty in your smile
the love in your heart
the glow in your eyes

you are a beautiful woman
a beautiful woman you are

then I wonder
what makes me sit down in my quiet time
to dedicate special times to think about you
maybe it is the sunshine you bring into my heart
the joy I feel thinking about you
the beauty of your heart

you are a beautiful woman
always a beautiful woman

why is it that I think I know what love is
when they define love
I have become the master interpreter
maybe it is the way you make me feel inside
the tenderness of your heart

you are a beautiful woman
a beautiful woman you are
why is it I am sitting up at this hour
composing these lines
to convey my deepest thoughts of love
is it because you are
My bright morning star
shining on my empty being
the one I want to be together with
you are beautiful woman

A beautiful woman you are

20:06 pm
6th April 2013

Thursday, February 7, 2013

Ajarkan Aku.

Ajarkan aku untuk melupakanmu. Aku tak mampu kerana setiap hela nafasku, aku seru namamu.
Ajarkan aku untuk meninggalkanmu. Aku terpaku. Takkan sedikit kaki kuanjak. Takkan setapak aku melangkah.
Ajarkan aku untuk menjauh. Agar tidak ditinggalkan lagi. Biarlah... Waktu berputaran.
Ajarkan aku untuk membencimu. Aku tidak tahu. Kerana kau, kasihku satu.
Ajarkan aku untuk mengerti maksud tidak memiliki. Aku tahu kau lebih memahami. Kerana engkau, kasih abadi.
Ajarkan aku untuk memerhati. Memandang dirimu dari sisi kehidupan yang lain.
Ajarkan aku untuk mendengar. Mendengar kata hati, yang pasti.
Ajarkan aku untuk mencari bayangmu. Bayang yang tidak kujumpai dalam gelita.
Ajarkan aku untuk mendakap ia. Kerana aku tahu, kau bukan milikku yang abadi.
Ajarkan aku untuk menatap matamu. Lirikan mata yang pasti akan kurindui.
Ajarkan aku untuk mengelus wajahmu. Ajarkan aku dalam mimpi indahku.
Ajarkan aku untuk menghirup seteguk kasih yang ku tak punya. Kerana engkau, kasih itu milikmu.
Ajarkan aku untuk melabuhkan tirai hidupku untukmu. Bersamamu, keranamu.
Ajarkan aku untuk mencari erti kehidupan. Pengorbanan. Kepayahan.
Ajarkan aku untuk menguak pintu hatimu. Aku tidak tahu. Kerana kau, satu dalam seribu.
Ajarkan aku... Ajarkan aku...

2252 p.m
7 Feb 2013.
Di jalanan.

Tuesday, February 5, 2013

Hormat.

Assalamualaikum.

Hormat. Kenapa tiba tiba saya timbulkan isu hormat? Hal ini kerana, dewasa ini terlalu banyak babak babak yang kekurangan unsur hormat dalam kalangan masyarakat kita. Apa? Kenapa? Bagaimana ini terjadi?

Hormat adalah satu perkara yang mudah untuk disebut tapi jarang dilakukan. Ini terjadi mungkin kerana ego, rasa bangga diri, riak dan sebagainya. Bila sifat sifat mazmumah mula menguasai diri, hilang semua sifat kemanusiaan. Susahkah untuk kita hormat orang?

Terkadang saya berfikir sendirian. To get it, you must give it. Jika kamu mahu orang menghormati kamu, hormati keputusan kamu, hormati hak kamu, kamu sendiri wajib menghormati orang lain dahulu. Itu yang dipanggil law of attraction.

Secara peribadi, saya tidak rasa untuk menghormati orang akan merugikan kamu atau apa. Tidak juga mengeluarkan sesen wang kamu. Sedikit rasa hormat sudah memadai dalam apa jua hubungan. Mungkinkah kamu sudah terdidik dengan sikap kurang ajar? Mungkin.

Silakan jika kamu cop saya seorang yang kolot atau kuno. Sedari kecil, saya terdidik demikian. Situasi, kamu memaksa saya untuk makan ikan keli yang mana kamu tahu saya tidak suka. Adakah kamu suka kiranya saya memaksa kamu untuk menelan durian yang kamu takkan makan? Itu contoh termudah.

Apa rasanya orang tidak menghormati kamu? Sakit hati, geram, rasa seolah olah hak kamu dicabuli. Ya, begitu juga dengan orang lain. Ke mana perginya nilai kemanusiaan? Ahh lupa! Kamu hanya pentingkan diri. Yang penting, diri sendiri. Kamu lupa, tanpa orang sekeliling kamu, kamu bukan sesiapa. Kamu takkan mampu hidup tanpa orang lain. Kamu hidup bukanlah berpaksikan diri kamu sendiri tapi bersandarkan keupayaan orang lain.

Treat others as how you wish to be treated.

Hello, New World.

Assalamualaikum.

It's been awhile since I left my blog. Tipu kalau kata tak rindu ruangan ini. Di sinilah tempat aku bermain, meluahkan segala isi hati. Jadi, apa khabar semua? *krik krik krikkk* Apa yang terjadi sepanjang aku berhenti menulis? Banyak!

Sebaik aku berhenti kerja, aku terus sambung belajar di salah sebuah universiti di Shah Alam. Agak sukar untuk aku menyesuaikan diri. Maklumlah, dari suasana sibuk di restoran, tiba tiba suasana yang dipenuhi dengan buku dan buku dan buku. Hari hari juga aku menangis mengenang nasib diri. Ecehh. Sebab apa? Hati dan jiwa masih di tempat lama.

Alhamdulillah, dengan berkat doa mama dan papa yang semestinya beriya nak tengok aku sambung belajar, aku dapat sesuaikan diri. Aku dapat rasakan tekanan yang aku sedang dan akan hadapi. Taktahu apa dan kenapa, tapi aku yakin, aku tak punya masa yang cukup untuk aku luangkan bersama keluarga atau kawan sekolah. Walhal, aku berulang alik setiap hari.

Tekanan di peringkat pembelajaran aku ni tidaklah seteruk mana tapi cukup untuk buat aku diserang migrain setiap hari dan kurang tidur. Baru aku sedar memandu itu meletihkan. Tapi inilah harga yang harus aku bayar untuk sekeping kertas untuk kuberi kepada si penemu duga aku nanti.

Aku bersyukur kerana dikelilingi oleh pensyarah yang aku rasa baik dan baik dan memahami. Sedari sekolah lagi aku telah dididik untuk menghormati orang yang lebih tua dan orang yang memberi ilmu kepadaku. Biasalah, ada pensyarah yang disukai, ada yang tidak. Bagi aku, selagi pensyarah tu tak menjengkelkan dan tidak berat sebelah, tidak ada sebab untuk aku membenci.

Tugasan demi tugasan. Aku belajar untuk lebih hargai dan tepati masa. Kuiz yang mengejut juga mengajar aku untuk sentiasa bersedia. Juga, aku terbiasa dengan keadaan bilamana aku tidak tidur malam dan keesokkannya perlu fokus sehingga petang dan menempuh kesesakan jalanraya sehingga malam. Ini kehidupan aku, ini yang aku pilih.

Baru baru ini (bulan Januari), adalah bulan yang paling 'neraka' yang pernah aku alami sepanjang aku belajar. Bermula dengan mesyuarat persatuan, persiapan 'mooting', persiapan public speaking, pembentangan public speaking, pembentangan 'mooting' dan peperiksaan akhir. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Miss Didi banyak membantu untuk public speaking. Madam Lily tak jemu memberi tunjuk ajar tentang mooting. Dalam sehari, entah berapa kali muka ini menjengah fakulti sampai pensyarah pensyarah di situ dah tahu dengan siapa aku nak jumpa.

Inilah serba sedikit coretan kehidupan baru aku. Dikelilingi insan insan yang banyak ajar aku jadi manusia. Tak rugi juga aku berkenalan dengan seorang senior yang baik. Walaupun dia tidak lagi belajar di institusi pengajianku lagi, dia sentiasa berkongsi cerita, pengalaman dan ilmu. Setiap kata nasihat, menguatkan lagi diri aku untuk terus tabah dalam dunia yang kejam yang aku cipta ini. Terkadang buat aku terfikir, "kalau dia boleh buat, aku yakin aku mampu."

Jalan ini yang aku pilih. Ini permulaan hidup aku. Ini perjalanan impian aku. Ini pengalaman yang akan aku kongsi generasi akan datang. InsyaAllah.